Dia baru buka purdah,suami dpt tgk muka dia dan call ckp nk lpaskan aku,status dia ustazah janda anak 6

Assalamualaikum. Hai, aku Maisara. Pernah bergelar ibu tunggal selama 6 tahun membesarkan anak-anak sekadar mampu. Dan sekarang telah berkahwin dengan F yang aku kenali sejak 7 tahun lepas. Bulan 12 ni insyaAllah akan genap setahun pernikahan kami jika diizinkan Allah, masih panjang jodoh kami berdua. Aku ceritakan serba ringkas tentang pernikahan kami.

Bernikah pada bulan 12 tahun lepas dengan maskawin hanya RM80 tanpa hantaran apa-apa. Dan memang itu permintaan aku sendiri memandangkan aku hanya ibu tunggal dan dengan niat tidak mahu menyusahkan suamiku yang sudah berjanji dengan abahku untuk menyara dan menjagaku dengan keringatnya selepas berkahwin.

Sesungguhnya, untuk membuat keputusan berkahwin lagi setelah mengalami trauma hebat dipukul, disantau dan mengalami pelbagai gangguan selama bertahun-tahun semasa bersama dan setelah bercerai dengan bekas suami, bukanlah satu benda mudah. Lagi pula aku sudah cukup selesa dengan hidup sendirian membesarkan anak-anak.

Takdirnya bersuamikan F, bahagia hanya beberapa hari sahaja. Kemudian F mula menampakkan cemburu buta pada bekas suami dan menuduh aku dengan pelbagai tuduhan berat yang aku tak pernah bayangkan untuk mengalaminya lagi setelah berkahwin kali kedua ini.

Aku pernah bercerai kali pertama pada 7 Januari tahun ini, hanya kerana F mempertahankan seorang perempuan di FB yang cukuplah aku nama dia sebagai K. Si K ini adalah seorang ustazah dan janda beranak 6. Pernah membuka purdahnya dan menghantar gambar kepada F semasa kami masih dalam pertunangan lagi.

K pernah memaki hamun aku tetapi aku merahsiakan dari F kerana aku fikir K bukan sesiapa untuk aku peduli. Rupanya dalam diam, K mengadu kepada F bahawa aku telah menyerangnya dengan pelbagai tuduhan.

Semasa F membuka FB nya, dia menunjukkan FB si K dan dengan selamba F mengatakan, “Ni musuh sayang ni” dengan gelak ketawa. Aku lihat dan pelik, sebab tak silap aku FB si K ini F dah remove.

Bila aku tanya, F jawab K bukan musuhnya, jadi kenapa dia perlu bergaduh, F approve sahaja request friend dari K. Dari situlah terkeluar cerita tentang kononnya aku yang menyerang si K. Aku ni sejenis pemendam. Sebab aku tahu F ni baran dan tak suka orang sebut tentang silapnya.

Sampailah satu ketika, kami bertekak tentang password FB yang sebelum kahwin, kami tak ada masalah untuk share, tetapi selepas kahwin, semua benda jadi rahsia bagi F. Alasannya untuk elak aku cemburu buta. Dan dicanangkan pada keluarganya aku sejenis perempuan yang suka cemburu sangat. Jadi apa yang aku pendam selama ini meletus.

Disebabkan tidak tahan dituduh curang, selepas Zuhur, F melafazkan talak satu dalam keadaan menjerit dalam talian. Tetapi pada hari itu, aku juga memujuk F supaya rujuk kembali memandangkan baru genap sebulan kami bernikah dan aku baru sahaja disahkan hamil.

Tapi tekanan demi tekanan, makian demi makian F suakan pada aku. Tapi dalam keadaan begitupun, F masih sudi rujuk kembali sejurus azan Maghrib pada hari yang sama. (Kami pasangan PJJ) hingga keesokan harinya, aku keguguran bayi pertama kami. Aku ingat, bila aku keguguran, F insaf. Tetapi masih juga sama. Bahkan menyalahkan aku kerana keguguran.

Sejak hari tu, hidup aku sipi-sipi sahaja untuk bergelar janda. Silap sedikit, pasti ugutan cerai akan keluar dari mulutnya atau tiap mesejnya. Lambat balas mesej, lambat jawab call, akan diugut dengan pelbagai ayat yang mengandungi perkataan talak dan cerai.

Belum lagi masuk bab cemburunya menuduh aku masih berhubungan badan dengan bekas suami aku yang jauh dari kampung aku. Aku jadi stress. Menangis sendirian. Kadang anak-anak jadi mangsa amarah aku.

Sebab aku pendam sendirian. Tak pernah aku luahkan pada sesiapapun walaupun abah aku. Dan untuk pengetahuan korang, perceraian kali pertama tupun aku masih lagi rahsiakan memandangkan aku tak mahu F dipandang sebagai lelaki yang kurang sabar dan terburu-buru dalam menjatuhkan talak.

Pernah sekali, dia marah amat sangat dan menulis bermacam ayat mengandungi cerai, dan aku terus block F. Aku sangat yakin masa tu talak dah jatuh lagi untuk kali kedua atau kali ketiga. Selalunya F takkan pernah delete mesej dia di Whatsapp atau sms kerana F suka menyimpan kenangan mesej kami.

Tapi pada saat aku block F serta merta, dia seolah-olah tersedar kesilapan dia dan aku perhatikan satu persatu mesej F delete. Aku tak sempat screenshot semuanya. Tapi F menafikan dia telah menjatuhkan talak pada aku dan beria meminta maaf kepadaku.

Dari saat itu, hati sudah mula rasa menyesal menerima lamaran F ini. Selama 7 bulan aku terpaksa hadap kata cerai yang menjadi permainan di tulisan dan mulutnya, dan aku cuba melawan F untuk mengelakkan dia melafazkan talak yang akan membuatkan dia menyesal sekiranya benar-benar terjadi.

Dalam tempoh 4 bulan selepas itu, ada juga F berbunyi tentang cerai tetapi aku terus mengiyakan untuk F terus mendaftar kes di mahkamah, kataku, nak bercerai, buatlah secara bermaruah dan hadapi susah payah sebagaimana dia bersusah payah untuk mendapatkan aku dan menyelesaikan urusan nikah kami dulu, dan aku minta dia pulangkan aku baik-baik kepada keluargaku.

Untuk pengetahuan kalian, F ini pernah mendapat lintasan, “aku ceraikan kau” sejurus selepas akad nikah kami. Ini dia sendiri yang bercerita masa kami sedang makan selepas tetamu pulang. Aku sebenarnya tak tahu apa masalah yang melanda F. Jika ada yang tahu apa masalah sebenarnya, bolehlah suggest apa-apa jenis rawatan untuk F ini.

Di saat ini, aku hanya menunggu masa untuk bekerja kembali setelah setahun lebih aku berhenti kerja. Begitu mudahnya F mengambil aku menjadi suri, tetapi bila aku menerima tanpa syarat, aku dibuang seperti pelacur tak bermaruah.

Aku dituduh sund*l, pelac*r, b*bi betina dan pelbagai perkataan lagi selama hidup bersama. Siap dituduh aku merajuk tak bermaruah. Aku digelar derhaka, nusyuz dan tidak diampunkan dosa hingga akhirat kerana meminta dia menceraikan aku dengan cara baik.

Maafkan aku jika jalan cerita tak teratur. Doakan aku kuat lagi bila terpaksa menghadapi perceraian kali kedua ni. Ikutkan sayang, binasa lagi hidup aku.

Tapi rasanya cukuplah aku lepaskan kali ini, demi kebaikan F dan aku juga. Supaya tiada lagi rasa sangsi dalam hatinya pada aku bila sudah tidak bergelar isteri nanti. Aku tak salahkan lelaki. Sebab aku tahu ramai lagi lelaki yang baik untuk dijadikan suami.

Dan ramai juga wanita baik untuk dijadikan isteri. Mungkin aku bukan tergolong dalam wanita yang layak bersuami. Tapi aku harap tiada lagi lelaki yang menjadikan talak dan cerai sebagai mainan bibir. Awal-awal mungkin seorang isteri boleh bertahan.

Tapi bagi aku sebagai wanita yang pernah dikasari fizikal dan mental sebelum ini, akan cepat muak dan jemu jika berulang-ulang perkara sama dalam hidup. Semoga kalian semua yang sudah berkahwin dan bakal berkahwin, dipanjangkan jodoh dan kekal hingga ke syurga. Doakan aku sama. Wassalam.

– Maisara (Bukan nama sebenar)